Wednesday 7 May 2014

Rahsia Di Sebalik Nama Surah Al-Baqarah

BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM...
ASSALAMU'ALAIKUMU WARAHMATULLAHI WABARAKATUH
SELAMAT MALAM
^_^

Menjadi satu keanehan yang tersisip kemas di dalam al-Quran berkaitan penamaan surah al-Baqarah. Pelbagai tanda tanya timbul mempersoalkan mengapakah surah ini dipanggil sebagai surah al-Baqarah  dan bukannya nama lain. Bukankan ini merupakan surah yang terpanjang dalam al-Quran sedangkan perkataan al-Baqarah hanya disebut beberapa kali sahaja? Malah kisah yang berkaitan dengan al-Baqarah juga disentuh dalam 2 muka surat. Dalam surah ini terkandung ayat yang paling mulia iaitu ayat Qursi, maka mengapa tidak dinamakan surah al-Qursi? 

     Selain itu, ayat yang paling panjang meliputi 1 muka surat penuh iaitu ayat yang menyentuh konsep dan prinsip hutang piutang. Maka mengapa tidak dinamakan sahaja surah ini sebagai surah dain (hutang)? Sekiranya kita meneliti dengan lebih cermat lagi isi kandungan yang terdapat dalam surah ini, kita akan mendapati masih banyak terdapat elemen lain yang boleh dijadikan tema penting, namun kesemua itu akhirnya tidak menyayingi surah al-Baqarah sehingga memartabatkan surah yang terpanjang dalam al-Quran.

      Antara temanya ialah :-
1) Permasyhuran Nabi Adam AS sebagai khalifah di muka bumi.
2) Ayat hukum hakam meliputi puasa, qisas, haji dan sebagainya.
3) Pemurniaan ekonomi dengan menghalalkan jual beli yang berteraskan manusiawi danmengharamkan riba.
4) Menginfakkan harta pada jalan Allah.
5) Pembinaan baitul haram sebagai asas dan tapak pengabdian diri kepada Allah dan banyak lagi ketetapan Allah.

     Meskipun begitu hebat tema yang diketengahkan Allah sehingga menjadi prinsip terpenting dalam kehidupan kita, namun tetap tema al-Baqarah menjadi pilihan terbaik dalam membentuk worldview hambaNya. Penamaan surah ini tidak lain dan tidak bukan seperti konsep penjenamaan. Sebagai contoh, apabila kita melihat McD maka kita akan teringatkan kesedapan burgernya, manakala KFC pula mengingatkan kita kepada keranggupan ayamnya...begitu juga jenama lain.

        Apa yang kita terbayang apabila membaca surah al-Baqarah? Apakah ia sepenting tema peningkatan mutu ekonomi yang menjadi nadi kepada sebuah negara atau apakah ia setanding dengan tema pembinaan tapak ibadah di atas muka bumi oleh Nabi Ibrahim AS dan anakandanya Nabi Ismail AS? Sheikh Mutawalli al-Sharawi, pakar tafsir daripada aspek bahasa akhirnya telah memberikan penerangan yang cukup memuaskan hati kita. Kita mengucapkan jutaan terima kasih kepada beliau serta menghadiahkan doa "Ya Allah, ampuni dan maafkanlah serta kasihanilah beliau."

         Kisah dalam surah al-Baqarah, sebelum kita mengetahui jawapan yang telah diberikan oleh beloau, harus kita mengetahui serba sedikit berkaitan kisah yang terkandung di sebalik al-Baqarah. Secara ringkasnya, telah berlaku suatu pembunuhan pada zaman Nabi Musa AS, namun tiada siapa yang menjadi saksi pembunuhan  tersebut sehingga merumitkan siasatan. Allah akhirnya telah memerintahkan bani Israel mencari seekor lembu bagi tujuan penyelesaian masalah. Yang menariknya ialah lembu bukannya manusia atau haiwan lain. Keluarga si mata (pembunuh adalah anak saudara si mati mengikut kisah dalam tafsir) telah merumitkan proses pencarian dengan telatah mereka yang bukan-bukan. Dipendekkan cerita mereka bertemu juga dengan lembu yang dimaksudkan lalu mereka telah mengambil bahagian lembu itu (khilaf ada yang mengatakan ekor dan ada yang berpandangan lain) untuk dipukulkan kepada si mati. Dengan kehendak Allah, mayat itu hidup semula dan menceritakan siapakah pembunuh yang sebenarnya. Jadi jelaslah kenapa dinamakan dengan al-Baqarah yang bermaksud lembu betina.

          Pengajaran dari surah, kisah ini ada beberapa pengajaran yang akhirnya akan menemukan kita dengan tema terpenting yang dimaksudkan oleh al-Sharawi.

1- Mengapa lembu? Kisah ini berlaku selepas kisah Bani Israel telah murtad di atas usaha dajjal samiri yang telah memesongkan akidah mereka dengan menyembah patung anak lembu yang boleh bersuara. Peristiwa itu berlaku semasa Nabi Musa AS ke Bukit Saina untuk bermunajat kepada Allah, lalu Allah ingin merendahkan 'mantan' tuhan mereka iaitu lembu itu sendiri.

2- Allah ingin menunjukkan kekuasaanNya secara langsung kepada semua umat Nabi Musa agar dengan itu mereka tidak akan lagi melakukan perdurhakaan kepadaNya. malah secara tidak langsung juga Allah ingin menegaskan bahawa segala tindak tanduk mereka diperhatikan oleh Allah dan kelak Allah akan mendedahkannya.

3- Kehidupan selepas mati, merangkap tema terpenting ialah surah ini menceritakan konsep kehidupan selepas kematian. Inilah tema terpenting yang dimaksudkan oleh al-Sharawi. Juster, menjadi visi dan fokus kepada setiap muslim yang ingin mengecapi kejayaan sama ada dalam memperkasakan ekonomi, meningkatkan kualiti ibadah, menegakkan hukum hakam dan syiar agama dan kesemuanya.

Nabi bersabda... "Orang yang paling cerdik (al-kayyis) ialah orang yang merendahkan dirinya dan beramal untuk kehidupan semula selepas kematian."

Ini menunjukkan kita beramal bukan untuk menghadapi kematian tetapi kehidupan selepas kematian yang jauh lebih panjang dan menentukan sama ada kita tergolong dalam kelompok al-Syimal (gagal). Bukti wujud akhirat, sekiranya kita mrnghalusi 3 ayat yang berurutan iaitu ayat 258-260 ketiga-tiga ayat ni sebenarnya turut membicarakan soal kehidupan semula selepas kematian...

1- Cabaran Nabi Ibrahim agar namrud menghidupkan orang yang telah mati.
2- Kisah seorang lelaki (dikatakan Uzair) yang telah ditidurkan Allah selama 100 tahun dan kemudian beliau melihat proses kehidupan semula himarnya.
3- Berkaitan permintaan Nabi Ibrahim agar ALlah menunjukkan cara menghidupkan semula orang mati demi mengukuhkan iman di dada.

       Maka tidak syak lagi bahawa mengingati kehidupn selepas mati yang mencakupi hari pembalasan dan perhitungan , titian sirat dan neraka, kesemua ini akan mendorong seseorang hamba itu lebih efisien dan efektif dalam menguruskan kehidupan mereka sehingga akhirnya meningkatkan taraf hidup sendiri, semua adalah kerana persediaan menghadapi saat tersebut.



P/s : Perkongsian daripada group wechat, saya cuma menyampaikan. Semoga Bermanfaat ! =D

1 comment:

MBS - Ku Musafir said...

terima kasih atas perkongsian ini..alhamdulillah..terjawab jgak persoalan saya kenapa la nama surah ni diberi sebagai Al-Baqarah..subhanAllah