Sahabat saudaraku Fillah,
Keadaan yang paling baik adalah ketika kita mampu menjaga ucapan dari perkara yang tidak bermanfaat. Ucapkanlah kata-kata tentang sesuatu yang diperbolehkan, yang sama sekali tidak mencampak diri kita mahupun orang lain ke dalam neraka.Apabila kita berbicara tentang sesuatu yang tidak berguna, bererti kita telah mensia-siakan waktu dan ingatlah bahawa kita akan dituntut atas ucapan kita sendiri.
Sedangkan apabila kita mengalihkan waktu untuk berfikir, maka rahmat Allah akan terbuka luas dan kita mendapat manfaat yang amat besar. Jika kita mengucapkan tahlil, zikir dan tasbih, nescaya itu lebih baik bagi diri kita.
Sesungguhnya amat banyak ucapan yang boleh dipergunakan untuk membangunkan istana di Syurga. Barangsiapa mampu membangunkan satu gedung di syurga, kemudian dia tidak dapat memanfaatkannya, maka dia berada dalam kerugian yang nyata.
Inilah perumpamaan orang yang meninggalkan zikir kepada Tuhannya dan sibuk dengan ucapan-ucapan yang tidak menguntungkan bahkan merugikan dirinya. Dengan demikian, meskipun dengan ucapan itu dia tidak menanggung dosa, namun dia telah kehilangan keuntungan yang begitu besar di sisi Allah SWT, iaitu keuntungan jika dia berzikir kepada Allah SWT.
Sesungguhnya diamnya seorang mukmin itu adalah berfikir. Pandangannya adalah mengambil pengajaran dan ucapannya adalah zikir. Demikianlah yang tersebut dalam sabda Rasulullah SAW:
"Bahagian dari baiknya keislaman seseorang itu adalah dia meninggalkan apa yang tidak berguna baginya" (HR Tirmidzi dan Ibnu Majah)
Ketahuilah bahawa modal utama seorang hamba adalah waktu-waktu yang dia genggam. Ketika seorang hamba itu memakainya untuk sesuatu yang tidak penting dan tidak bernilai, maka dia telah mensia-siakan modalnya.
Sabda Rasulullah: "Barangsiapa diam, Nescaya selamat."(HR Tirmidzi)
Abu Hurairah berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah berkata benar atau pun diam!"(HR Bukhari dan Muslim)
Hiduplah di tempat yang tidak menyentuh hal-hal yang tidak berguna, yang mampu menjaga kehidupan dari hal-hal yang mengakibatkan rasa malu. Dengan kerendahan hati, Indahkanlah diri dengan keimanan, ketaqwaan dan akhlak yang tinggi lagi terpuji.
♥ UCAPANMU ADALAH ZIKIR DAN KATA BICARA YANG BAIK, CARA MEMANDANGMU ADALAH IKHTIBAR DAN DIAMMU ADALAH BERFIKIR ♥
Wallahu'alam.